PENUTUP

 

Rentetan sejarah kebudayaan yang digalurkan di atas adalah hasil penelitian terhadap tinggalan masyarakat prasejarah. Segala tinggalan itu dapat ditafsirkan sebagai tinggalan hasil kebudayaan masyarakat tersebut. Hasil kebudayaan secara langsung mencerminkan cara hidup masyarakat prasejarah pada satu-satu tahap tertentu dalam perkembangan kebudayaannya. Justeru itu definisi kebudayaan prasejarah, berdasarkan penilaian yang dibuat untuk menunjukkan perkembangan dalam kebudayaan masyarakat prasejarah Malaysia, ialah cara hidup masyarakat yang merangkum aspek-aspek sistem nilai, idea-idea yang telah wujud dan yang baru, tingkahlaku manusia, organisasi sosial, kepercayaan, hubungan masyarakat dengan alamnya, sama ada yang nyata mahupun yang tidak, dan lain-lain lagi. Memang ternyata bahawa definisi ini merupakan satu daripada berpuluh-puluh definisi kebudayaan yang pernah diperkatakan oleh berbagai-bagai golongan sarjana. Namun begitu definisi ini merangkum aspek-aspek yang sering disebut dalam berbagai-bagai definisi kebudayaan yang banyak itu. Dalam membicarakan tinggalan kebudayaan prasejarah, tidak dinafikan bahawa tumpuan yang besar diberikan kepada perkembangan teknologi alat-alat utama masyarakat prasejarah dan tinggalan yang lain itu diberi perhatian yang minimum. Ini disebabkan tinggalan yang lain, seperti sisa makanan dan sisa alam sekitar, tidak dapat dinilai kerana cara pengumpulan tinggalan-tinggalan itu pada amnya tidak sistematik. Maka maklumat itu tidak meyakinkan untuk dinilai pada waktu ini. Ahli-ahli arkeologi Malaysia berharap bahawa melalui pengumpulan data-data yang lebih sistematik, akan dapat dibuat penilaian yang lebih meyakinkan.